Pulau Perhentian Pulau Cintaku
Bagiku keduanya tak ubah seperti irama dan lagu
yang pasti tidak akan terpisah walau untuk sejuta waktu lagi…
Ombak biru….Kicau burung lautan…Pantai berpasir putih…..
Segala-lanya memahatkan bait-bait puisi
yang ku alunkan melalui desir angin membelai..
Pada beburung ku nyanyikan lagu bahagiaku…
gembiraku kerana aku adalah wanita itu
yang dipilih untuk menghuni hatinya…
Pada buih ombak yang memecah di pantai…
ku luahkan kesucian cinta dan harapanku
serta jiwa dan perasaan yang ku simpan untuknya…
Pulau Perhentian….Pulau Cintaku….
Aku rindu pada saat-saat
yang kau ciptakan pada aku dan dia..
Tubuh gebu berpasir di dadamu..
menjadi saksi akan bahagia
yang tercorak oleh setiap langkah kami berdua..
Sahabatmu sang angin
pernah mendengar tawa dan ria
yang tercetus pada detik terindah itu..
Wahai Pulau, khabarkan pada sahabat-sahabatmu
Aku rindu pada saat dia memimpinku memijak gigi lautan…
bermain dengan ikan-ikan kecil
dan karang-karangan lautan berwarna pelangi…
Beritakan pada mereka tentang rinduku pada keindahan senja
apakala sang suria pelahan-lahan memijak anjung lautan
beradu di sebaliknya membawa bersama hamparan kuning keemasaan….
Dan bintang di langitpun mula kelihatan
gemilang kerlipannya memancar lembut
menghiasi dada langit nan kelam,
menyambut kemunculan sang rembulan..
Wahai Pulau, bisikkan pada kuntum-kuntum harum
yang berkembang apakala suria muncul semula
tentang betapa aku gembira
di saat senyum si dia menyambut bangkitku dari lena..
Ketika kehangatan suria memecah kedinginan pagi
aku dan dia berpimpinan lagi menyusuri pantai
mencipta kenangan-kenangan baru
agar pulau boleh bercerita lagi tentang kami….
Wahai Pulau, aku rindu mengulangi kenangan-kenangan itu..
kenangan yang mungkin hanya akan berpusara di perutmu
kenangan, yang ku tinggalkan padamu
kerana aku takut ia akan sirna
andai ia aku bawa pulang…..
Pulau Perhentian Pulau Cintaku…..
Mungkin kelak aku akan datang lagi mengunjungimu…
Dan pulang bersama kenangan yang kau simpan ini
kerana aku ingin menjadikannya mahkota pelamin
agar ia abadi menjadi bukti simpulan cinta kami..
Label: all about this heart